Sepertimana yang kita semua sedia maklum, Islam amat menggalakkan
perniagaan sebagai kerjaya umat muslim. Kita perlu yakin bahawa 9/10
sumber rezeki datangnya dari jalan perniagaan. Namun begitu, berdasarkan
fakta, tahukah anda bahawa dalam komuniti manusia, hanya 1/10 sahaja
yang menjalankan perniagaan sedangkan 1/10 inilah yang menjana
pendapatan yang lumayan dan dari 1/10 ini, hanya 5% sahaja yang
benar-benar kaya raya, yang lain hanya kaya biasa-biasa dan sebilangan
besar mereka pula pernah merasa erti kegagalan dan kerugian puluhan ribu
ringgit mahupun jutaan ringgit.
Sebenarnya, tidak ramai yang sanggup untuk berusaha keras untuk
menjadi kaya, namun apabila ditanya tentang adakah anda mahu kaya?
Rata-rata menjawab; “Ya, sudah pasti saya mahu kaya!”.
Apabila diajak untuk berniaga, mereka mula menjawab; “Baik sahaja aku
makan gaji, kerja senang, bulan-bulan dapat gaji tetap, rajin ke malas
ke, tetap dapat gaji!”
Mengapa berlaku sedemikian?
Penulis ingin bawakan kepada para pembaca sebuah kisah yang boleh
dijadikan pengajaran buat semua para pembaca sekalian. Ayuh teruskan
membaca dan sama-sama kita hayati maksud tersirat yang ingin penulis
cuba sampaikan.
KISAH SEKUMPULAN SEMUT DAN SEEKOR KELDAI PEMBAWA BARANG
Pada suatu hari, seekor keldai sedang beristirehat kerana merasa
kepenatan setelah memikul barangan yang membebankan. Beban yang cuma
sebesar setengah daripada punggungnya itu telah diletakkan dipunggungnya
oleh majikan keldai itu. Keldai tersebut hanya mengikut sahaja perintah
majikannya tanpa banyak soal walaupun hakikatnya ia sudah terlalu letih
membawa bebanan tersebut.
Perjalanan tersebut begitu berat ditambah pula hari yang begitu panas
terik, maka keldai itu pun beristirehat di pohon rendang, dengan nafas
yang termengah-mengah dan mulutnya berbuih-buih. Ketika keldai itu
sedang beristirehat, tiba-tiba lalulah segerombolan semut yang kelihatan
sedang bernyanyi-nyanyi dengan riang gembira sambil membawa beban
makanan mereka. Keldai itu mula tertarik melihat gelagat sekumpulan
semut tersebut.
Semut-semut tersebut semuanya kelihatan gembira sambil membawa beban
masing-masing, ada yang membawa bangkai, tulang-tulang binatang termasuk
cebisan-cebisan ayam dan sebagainya lagi. Keldai itu berasa hairan
apabila melihat segerombolan semut itu senang hati dengan riang gembira
bernyanyi- nyanyi.
Semut-semut itu juga melihat keldai terduduk dalam keadaan kepenatan.
Sebaik sahaja menghampiri keldai tersebut, ketua semut itu bertanya
kepada keldai, “Hai keldai, apa yang sedang kamu lakukan di sini.”
“Saya sedang berehat wahai semut,” jawab keldai tersebut.
“Kenapa kamu kelihatan begitu penat sekali?” tanya semut lagi.
“Itulah dia saya begitu penat sekali sebab membawa beban ini, beban
yang tidak sebesar badanku ini tapi tersangatlah penat bagiku,” jawab
keldai itu lagi.
Maka semut itu pun bertanya, “Siapa punya beban yang kau bawa itu, wahai sang keldai?”
Maka keldai pun menjawab, “Bos saya punya, yang sedang minum dan makan-makan dibawah pohon di sebelah sana tu!”
Maka keldai pun menjawab, “Bos saya punya, yang sedang minum dan makan-makan dibawah pohon di sebelah sana tu!”
“Oh begitu….” kata sang semut tersebut sambil tersenyum.
Sang keldai berkata, “Eh! Kamu semua ini pula, kenapa nampak begitu
gembira? Sedangkan kamu semua terpaksa mengangkat beban makanan yang
besar-besar belaka?” tanya sang keldai kepada sang semut tadi.
“Kami memang begini setiap hari. Kami juga membawa beban yang berat
bahkan lebih berat dari badan kami tetapi kami rasa gembira sekali.
Tiada istilah penat bagi kami dan kami sangat gembira melakukannya.”
“Mengapa boleh jadi begitu ya?” tanya sang keldai dengan rasa penuh kehairanan.
Ketua semut itu diam sejenak lalu berkata: “Barangkali kerana kita mempunyai jurang perbezaan wahai sang keldai yang dihormati.”
“Apa perbezaannya, sang semut? Saya lihat, kita sama sahaja, membawa bebanan masing-masing?” tanya keldai kembali.
“Kamu membawa beban yang berat tetapi beban yang berat itu bukan
kepunyaanmu, tetapi majikanmu yang sedang makan minum dan berehat-rehat
di bawah pohon sana, sedangkan kami semua membawa beban memang lebih
besar daripada badan kami tetapi beban-beban ini adalah kepunyaan kami
sendiri, dan bukannya bos kami.” demikian penjelasan semut.
Keldai itu termanggu-manggu tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa
kerana dia tetap seekor keldai yang hanya pandai menurut perintah
majikannya tanpa sedikit pun sedar akan maksud yang disampaikan oleh
sang ketua semut tersebut.
Baiklah, para pembaca yang budiman sekalian. Apakah moral yang boleh kita perolehi dari cerita ini?
Sebenarnya, banyak moral disebalik kisah ringkas ini! Tetapi terdapat
satu pengajaran penting yang boleh kita ambil disini ialah;
Walaupun beban, dugaan dan cabaran yang dihadapi oleh seseorang
usahawan di dalam dunia perniagaan itu selalunya lebih besar dari dunia
makan gaji, namun, mereka akan tetap sentiasa tabah dan gembira
menghadapinya. Kerana, mereka tahu, mereka sedang berusaha untuk
mencapai impian mereka sendiri, dan bukannya impian orang lain atau
impian majikan mereka.
Pengajaran yang kedua, terdapat golongan yang tidak sedar tentang
potensi mereka yang sebenar. Samada mereka tidak diberi peluang, tiada
modal ataupun sudah tahu namun tidak berani untuk bertindak kerana
terlalu risau tentang cakap-cakap belakang yang mengatakan berniaga itu
berisiko tinggi untuk gagal, tiada pendapatan tetap dan tiada jaminan
masa hadapan.
Penulis berharap agar mesej yang ingin disampaikan disini, membawa
kesan walaupun sedikit kepada para pembaca. Minda kita harus dicuci dan
dibersihkan. Jika kita sekarang sedang bekerja, belajarlah untuk
berniaga secara sambilan dahulu. Jika tiada minat, banyakkan membaca
tentang kejayaan usahawan-usahawan ternama dan ubahlah sikap, mungkin
suatu hari nanti dibukakan hati untuk meminati perniagaan, kerana
perniagaan itu Sunnah Rasulullah SAW.
Artikel Pilihan Dari Pakar Perniagaan Internet, Irfan Khairi
No comments:
Post a Comment