Jadilah Rakan Yang Terbaik
Dalam hidup ini kita pasti akan memerlukan teman atau dipanggil
sebagai rakan. Merekalah yang akan menjadi teman semasa kita masih hidup
di dunia ini. Rakan yang baik akan sentiasa membimbing kita ke arah
kebaikan.
Dalam kita berkawan biarlah ikhlas dan bukannya bersebab. Kita
hendaklah sentiasa berusaha untuk melakukan kebaikan kepada rakan kita
tanpa mengharapkan apa-apa balasan kembali darinya. Biarlah Allah S.W.T
yang membalas kebaikan yang kita lakukan.
Adab dalam berkawan memang perlu sentiasa dijaga supaya hubungan
persabahatan yang dibina akan berkekalan sampai bila-bila. Kita akan
dapat mengenali siapa rakan-rakan yang benar-benar ikhlas berkawan
dengan diri kita di waktu susah dan juga senang.
Kawan yang ramai sememangnya boleh dicari. Itu memang benar.
Dimana-mana sahaja tempat kita boleh berkenalan dengan orang lain.
Rakan-rakan sekampung, rakan sekolah, rakan universiti, rakan tempat
kerja dan banyak lagi rakan-rakan lain yang boleh kita jumpa
dimana-mana. Pepatah ada mengatakan berkawan biar seribu, bercinta biar
satu.
Kehidupan kita dan rakan-rakan kita adalah saling memerlukan antara
satu sama lain. Rakan-rakan boleh menjadi tempat untuk kita berkongsi
masalah. Rakan yang terbaik akan menjadi pendengar yang baik dan akan
cuba membantu menyelesaikan masalah yang kita hadapi.
Kita juga boleh meminta pandangan dari rakan-rakan kita terhadap
perkara yang kita tidak tahu. Hargailah pandangan yang diberikan oleh
rakan kita walaupun adakalanya kita tidak bersetuju.
"Waktu kita dalam keadaan
senang, rakan-rakan akan mengenali kita. Waktu kita dalam kesusahan,
kita akan mengenali siapa rakan-rakan kita."
Masa senang adalah masa yang paling disukai oleh sesiapa sahaja. Pada
waktu senang ramai rakan-rakan akan bersama dengan kita. Mereka akan
berasa seronok dapat berkawan dengan kita. Kita juga akan berasa seronok
mempunyai rakan-rakan yang ramai. Semua orang akan rasa gembira apabila
berada pada waktu senang.
Tetapi langit tidak selalu cerah. Kita akan diuji oleh Allah S.W.T
dengan kesusahan. Pada waktu susah tidak ramai orang yang dapat membantu
diri kita. Pada waktu ini juga kita akan dapat menilai siapakah yang
benar-benar ikhlas berkawan dengan diri kita. Ramai rakan-rakan akan
lari meninggalkan diri kita kerana kesusahan yang kita alami.
Jika masih ada rakan-rakan yang setia bersama dengan kita itulah
rakan-rakan yang benar ikhlas dan hubungan persahabatan yang dibina.
Mereka akan cuba membantu kita mengikut kemampuan diri mereka.
Bersyukurlah kita jika mempunyai rakan-rakan yang setia bersama dengan
kita di waktu susah.
Hargailah rakan-rakan yang masih ada bersama dengan diri kita. Jika
kita tidak pandai untuk menghargai rakan-rakan kita, sudah tentu mereka
akan pergi meninggalkan kita. Berbuat baiklah kepada rakan-rakan kita
mengikut kemampuan diri kita. Sentiasa mengambil berat kepada diri
mereka.
Contoh hubungan persahabatan terbaik yang perlu kita contohi adalah
sahabat-sahabat seperjuangan Rasulullah S.A.W seperti Abu Bakar
As-Siddiq Umar Al Khattab, Usman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib dan
sahabat-sahabat nabi yang lain.
Mereka bersahabat kerana Allah S.W.T dan berjuang bersama-sama dengan
Rasulullah S.A.W untuk menegakkan agama Islam. Tidak kira di waktu
susah atau pun senang mereka akan tetap berjuang bersama dengan
Rasulullah S.A.W. Itulah contoh sahabat terbaik yang perlu kita contohi.
Semoga hubungan persahabatan yang kita jalinkan bersama dengan
rakan-rakan kita akan sentiasa diberkati oleh Allah S.W.T. Berdoalah
untuk kesejahteraan rakan-rakan kita. Jika ada diantara rakan-rakan kita
yang melakukan kesalahan maka masing-masing perlu mengingatkan antara
satu sama lain.
Perbetulkan mana yang silap. Terimalah rakan-rakan kita seadanya kerana kita sebagai manusia sememangnya tidak sempurna.
-Artikel iluvislam.com